Monday, July 29, 2013

Ramadan #The Night Power: Lailatul Qadr

Lailatul Qadar adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur'an dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.

Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan, iaitu pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29, ini adalah pandanagn jumhur ulama' dan umat Islam. Malah ada sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke 22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat ia adalah tetap, iaitu pada malam ke 27.

Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Majoriti Muslim biasanya berusaha agar tidak mensia-sia malam ini. Mereka akan tekun dan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

Yang pasti, Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan.



Doa dan amalan di Malam Lailatul Qadar

1. Bagi orang yang mendapat Lailatul Qadar ucapkanlah:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ أَنْتَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”

2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.

3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika berbetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali Surah Al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)

4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ

Tanda Malam Lailatul Qadar

Para alim ulamak r.h. menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatul Qadar:
  • Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita
  • Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat
  • Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud
  • Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya,
Barangsiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Sumber:


Thursday, July 25, 2013

Ramadan #Salam Nuzul Quran

SELAMAT MENGHAYATI HARI NUZUL QURAN


Kenangan #Hati terusik

Hmm... dalam bulan puasa macam-macam benda saya terkenang. Hmm... teringat masa kanak-kanak. Terbayang masa SPM dulu dalam bulan puasa... 10 tahun dah tinggalkan zaman persekolahan. Terkenang masa MUET dulu dalam bulan puasa... Teringat zaman-zaman belajar di U... dengan aktiviti kolejnya yang setiap tahun mesti buat minggu penghayatan Ramadan la... masak bubur lambuk la... sebelum puasa dah sibuk masak-memasak untuk sumbangan Aidilfitri kepada tentera Malaysia.

Oh, sebenarnya saya bukan aje teringat bulan puasa! Tapi terkenangkan si dia yang jauh di mata dan jauh di hati. Err... jauh ke?? Huhuhu jauh la kot sebab dah jauh kenangan itu ditinggalkan. Hmm... bila fikir balik, yalah, zaman tu, muka sememeh aje... dengan tudung senget benget... mana tau nak berkemas bagai. Zaman persekolahan la katakan. Hahaha

'Sekali sekala ada... ada rindu yang datang tiba-tiba...' (Alyah: Tak mungkin kerana sayang)

Oh pertama kali jumpa, saya tak perasan pun dia! Sedar akan kewujudan dia bila dia duduk di sebelah kiri saya. Hehe itu pun tak pandang sangat sebab saya syok sembang dengan budak sebelah kanan saya. Lepas tu, masih tak ada apa-apa lagi. Esoknya saya perasankan dia lagi bila dia pakai baju melayu dan siap bersongkok. Smart dowh! Hahaha dia memandang saya dari jauh... dengan senyuman! Melting tetiba! Huahaha opss...tergelak besar pulak! malamnya, kami duduk di meja berasingan tapi masih bersebelahan. Try to capture his pictures, his team actually, but malu pulak... But my friend said, dia nak datang ambil gambar kita orang tapi tak sempat. Huhu Keesokkan harinya, kami berbalas pandang. Tak tahu nak feels apa time ni. Kami yang biasanya lambat ni tetiba rasa pelik apabila dia menunggu kami dan dia lead kita orang balik ke hotel. Sementara tunggu cikgu datang dengan kereta, kami lepak dengan cikgu yang dari Terengganu. Sama-sama nak balik negeri masing-masing. Tetiba dia datang dan bersembang dengan cikgu tu. Sesi pengenalan yang agak pelik. Oh, mungkin kami ni budak-budak kot! Hahaha

Ok. Stop writing about this thing. Rasanya memang tu zaman hingusan kot... Bila dah besar ni, difikirkan semula, err... macam janggal aje! Huhu

Saya yang pakai spek. Nampak sangat kecomotannya! haha miss them!!~

Saya yang 10 tahun selepas gambar di atas. Hahaha ni pun masih comot gak... 

Ahhh... bila nak kaya ni??? Hahahahahaha

Wednesday, July 24, 2013

Ramadan #Terawih - part 2

Assalamualaikum. Hai semua! Selamat  berbuka, selamat berterawih, selamat bertadarus, dan selamat bersahur! (^___^) Ini, saya nak sambung pasal kelebihan dan keistimewaan solat Terawih.

Malam ke 16
Allah S.W.T menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga

Malam ke 17
Allah S.W.T menulis baginya pahala sebanyak pahala para nabi-nabi

Malam ke 18
Malaikat akan menyeru, “Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah S.W.T telah redha ke atas mu dan ke atas kedua ibubapa mu.”

Malam ke 19
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus

Malam ke 20
Allah S.W.T mengurniakan ke atasnya pahala sekelian orang yang mati shahid dan orang yang soleh

Malam ke 21
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga daripada cahaya

Malam ke 22
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut

Malam ke 23
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya

Malam ke 24
Dikurniakan ke atasnya pahala dua puluh tahun ibadat

Malam ke 25
Dilepaskan dari seksa kubur

Malam ke 26
Dikurniakan ke atasnya pahala empat puluh tahun ibadat

Malam ke 27
Dikurniakan ke atasnya kemudahan melintasi titian sirat seperti kilat

Malam ke 28
Allah S.W.T menaikkan kedudukannya seribu darjat diakhirat

Malam ke 29
Dikurniakan ke atasnya pahala seribu haji yang mabrur

Malam ke 30
Allah S.W.T memberikan penghormatan kepadanya dengan Firman-Nya, “Wahai hambaku, makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama Salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang bernama Al-Kauthar.”

Selain dari fadhilat-fadhilat yang tersebut di atas, terdapat banyak dan berbagai lagi fadhilat dan keutamaan solat Tarawih dan Qiamulail di malam bulan Ramadhan sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w.


Tuesday, July 23, 2013

Juadah Berbuka Sabtu Lepas #nasi beriyani

Assalamualaikum. Hye all!!~ Hari ni hari ke 14 kita berpuasa. Tak sangka dah sampai separuh bulan dah. Bulan di langit pun dah mengambang. Boleh tak kalau saya cakap 'yeah yeah... raya!' hahaha Hampeh tol kan? Tak buat apa-apa lagi pun untuk persiapan raya. Baju yg ditempah pun tak siap lagi. Huahahaha eh, tergelak besar pulak! Maaf... *tersipu-sipu*

Malam tadi kucing saya beranak. 6 ekor semuanya dan kalernya pun semua putih. Tapi 2 ekor dah mati... Mak cakap tak apa... tunggu aje la nanti. Karang dia bunting balik. Hehehe tahun ni dah 2 kali kucing tu beranak. Anak dia yg lahir bulan 4 aritu pun tak besar lagi. Ni dah tambah lagi. Memang 'penyeri' hari raya betul! Hohoho

Alamak, apahal melalut ni? Huhuhu Hari sabtu hari tu, saya masak nasi beriyani untuk keluarga. Rumah full house. Abang dan kak ipar balik maka masaklah yang best sikit. (Yang sebenarnya memang nak masak nasi beriyani pun... haha) Ok. Jom check bahan-bahannya.

Bahan-bahan
3 cawan beras (beras basmati paling best)
1 labu bawang besar - dikisar
3 biji bawang merah - dikisar
2 biji bawang putih - dikisar
1/2 inci halia - dikisar
1 bji tomato - dipotong dadu
1 keping dada ayam - dipotong dadu
2 biji cili hijau - dibelah
Kulit kayu manis
Buah pelaga
Bunga lawang
Cengkih
3/4 paket perencah nasi beriyani (jenama apapun boleh dan biasanya ada cara memasak di belakang paket tapi saya buat ni ikut cara saya)
1 cawan susu cair
3 sudu marjerin (kalau guna minyak sapi lagi bagus tapi keluarga saya tak berapa gemar)
Air secukupnya
Secubit gula
Garam secukupnya
Kismis - hiasan
Daun sup atau daun ketumbar - hiasan

Cara-cara
1. Panaskan periuk. Masukkan marjerin ke dalam periuk dan cairkan. Jangan sampai hangus.
2. Masukkan 4 sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih). Goreng sekejap dan kemudian masukkan bahan-bahan kisar. Tumis sehingga kering dan naik bau.
3. Masukkan perencah nasi beriyani, cili hijau, buah tomata, dan dada ayam. Gaul dan tumis lagi sehingga garing.
4. Masukkan beras yang telah dibasuh ke dalam periuk menumis. Gaul sehingga rata dan biar garing sedikit.
5. Masukkan susu cair dan air secukupnya (macam masak nasi. Nisbah air dan nasi 1:1). Bubuh gula secubit bagi memberi rasa yang cukup pada nasi. Jangan lupa untuk meletakkan garam secukupnya (lebih kurang dalan 1 1/2 sudu kecil).
6. Tutup periuk dan biarkan ia kering. Apabila sudah kering, kecilkan api dan kacau supaya nasi tidak antah. Taburkan kismis di atasnya dan tutup semula periuk dan biarkan ia masak dengan sempurna.
7. Taburkan daun sup atau daun ketumbar apabila nasi sudah masak. Sedia untuk dihidangkan.

ini hidangan saya hari sabtu lepas. Ayam masak merah dan ayam masak kurma. Temanya adalah ayam sebab adik saya suka sangat makan ayam.


Selamat mencuba!

Oh, ya! Saya masak guna dapur gas. Kalau guna rice cooker lagi bagus sebab tak payah nak kawal api. Hehe dan ini cara saya masak dan saya tak pandai sangat masak. Jadi... nasi tu memang jadi nasi beriyani yang ala-ala melayu sikit. Huhuhu

Boleh makan dengan kari, ayam goreng rempah, ayam ros, daging masak hitam, ayam masak beriyani, dan macam-macam lagi.

p/s: bila dah buat biskut nanti, saya nak share kat sini... (^___^)v


Friday, July 19, 2013

Masak lemak nanas dan ikan masin

Assalamualaikum. Hai semua! Selamat menjalani ibadah puasa dan berhari jumaat. So, apa juadah berbuka hari ni? Saya senang aje... p bazar Ramadan laaa. Kat sekitar kawasan kampung saya ni, ada 3 tempat yang boleh dituju kalau nak cari juadah berbuka puasa. 2 bazar Ramadan dan 1 pasar malam mingguan, setiap hari. Hehe tapi saya suka masak sendiri kat rumah. Macam semalam, saya masak ayam paprik dan kentang goreng kicap. Kalau dah malas sangat, baru keluar cari makanan siap.

Ok. Berbalik kepada masak lemak nanas dan ikan masin. Jom tengok bahan dan cara-caranya.

Bahan-bahan
5 ekor ikan masin (saya suka guna ikan sepat. Ada orang suka guna tulang ikan merah masin atau ikan duri kering atau ikan talang kering. Tak kisah la yang mana tapi jangan guna ikan masam. Nanti ikan masam akan hancur jika dimasukkan ke dalam kuah.)

Setengah biji nanas - dipotong nipis dan kecil (kalau jenis josephine, nanti kuah jadi manis tapi boleh juga guna. saya guna nanas biasa dan saiz pun yang kecil aje.)

3 biji bawang merah - dihiris

2 biji bawang putih - dihiris

Setengah inci halia - dihiris

Setengah sudu serbuk kunyit
3 tangkai cili merah - dihiris (kalau nak guna cili padi pun boleh. Disebabkan bulan puasa dan nak jaga perut dari sakit, saya guna cili merah aje. Kalau guna cili padi, better tumbuk sekali dengan bawang merah dan bawang putih. kalau nak hiris pun boleh juga.)

1 cawan santan

Air secukupnya

Minyak masak - untuk menumis dan menggoreng ikan masin

Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara
1. Goreng ikan masin terlebih dahulu. Jangan terlalu garing. Angkat dan asingkan.
2. Panaskan periuk dan bubuh minyak untuk menumis. Masukkan bahan-bahan yang dihiris dan serbuk kunyit ke dalam periuk apabila minyak sudah panas. Tumis sehingga separuh kering.
3. Masukkan sedikit air dan nanas yang telah dipotong kecil. Masak sehingga nanas layu.
4. Masukkan pula sedikit gula, dalam suku sudu kecil, untuk mengekalkan rasa nanas. Kemudian, masukkan santan. Kacau perlahan dengan api kecil supaya santan tak pecah minyak.
5. Bila santan dah menggelegak, masukkan ikan masin yang telah digoreng tadi. Saya suka goreng ikan masin ni dulu sebab tak mahu nanas jadi masin, ikan masin jadi tawar dan lembik.
6. Rasa masin kuahnya sebelum menutup api. Tadaaaa... sudah siap! hehe

Ni la hasilnya....
Selamat mencuba! Sekian, terima kasih.

p/s: masih belum tertunai hajat nak makan homemade beriyani...huhuhu

Hati Sebak #Kes poligami

Assalamualaikum. Rasanya ramai dah tahu kes Ashraf Muslim dah kahwin lagi satu kat Thailand sana. Haishh... Dah tak terkomen apa dah dengan kisah aktor ni. Simpati saya pada Dayana melimpah ruah. Faham sangat perasaan seorang wanita apabila kasih sayang seorang suami berbahagi. Hmm...

Ni nak share luahan hati Noor Dayana Lokman kat dia punya FB.

Tak usah bicara tentang payung emas
Kerana
Aku belum layak iktiraf diri sesuci khadijah atau fatimah

Tak usah bicara tentang zuriat
Kerana
Aku bukan Allah…mudah menyebut kun fa ya kun…

Tak usah bicara tentang setia
Kerana
Aku pasti kau tahu aku bukan perempuan jalanan

Tak usah bicara tentang tanggungjwb
Kerana
Aku tahu kau lebih arif tentang itu

Tak usah bicara tentang kesempurnaan
Kerana
Aku terima kekurangan kau kerana Allah

Tak usah bicara tentang dia
Kerana
Aku diasingkan darimu kerana dia

Sucinya aku, kau miliki ketika di Makkah
Hebatnya dia, kau sembunyikan ketika di Thailand..

Berhenti beralasan ini semua jodoh ketentuan Allah…
Kerana satu dunia tahu
Hanya itu lah jawapan mudah utk lepaskan kekhilafan yg disengajakan.

Menangis saya baca luahan hati Dayana.

Tabahlah wahai sang pencinta. Allah tahu apa yang terbaik untukmu.


Lagu ni buat sang suami yang rasa cam tak sabar nak kahwin lain...

p/s: saya tak benci poligami tapi saya tak pernah menyokongnya... maaf!

Thursday, July 18, 2013

Cara nak kejut orang bangun sahur

Holaaa... Hai! Dah terawih? Bagus! (^___^)

Hari tu saya ada buat entri pasal camne nak mengatasi masalah susah nak bangun sahur. Haaa... yang tu untuk diri sendiri. Kali ni nak share camne nak kejutkan orang lain yang susah nak bangun sahur. Boleh pakai cara ni untuk housemate, roommate, husband n wife, anak-anak, adik beradik... hehe tapi... kalau ada apa-apa terjadi kat korang, tanggung sendiri la erk.

1. Geletek tapak kaki orang yang berkenaan. Kalau geletek kat hidung guna bulu ayam pun boleh.

2. Siram orang tu dengan air. Guna air ais pun bagus gak.

3. Letak kerengga kat tempat tidur orang tu. Letak dengan sarangnya sekali.

4. Bakar la sabut kelapa ke, tempurung ke, bekas telur ke... asalkan asap penuh satu bilik. Bila dah sesak nafas, tahulah dia nak bangun.

5. Pasangkan ubat nyamuk yang jenis lingkaran kat sebelah dia. Pasang kat sekeliling. Bila orang tu beralih tidur, confirm terkena. Mesti dia akan terbangun.

6. Bacakan talkin sekuat-kuatnya di sebelah orang tu. Pasti dia akan melompat dan segera bangun.

7. Start motor kat sebelah orang tu kemudian press minyak kuat-kuat. Itupun kalau boleh bawa motor masuk dalam rumah laa...

8. Pasangkan jam loceng dekat telinga orang tu macam pakai headphone. Bila jam tu berdering, confirm dia akan bangun punyalah.

Silalah mencuba. Pastikan anda tidak dikejar dengan parang jika melakukan perkara di atas.

Sekian, terima kasih!

p/s: gurau je dowh... haha bulan posa ni jangan marah-marah... hehehe


Tuesday, July 16, 2013

Mengatasai masalah nak bangun sahur.

Hai... malas betul nak bangun sahur. Anda malas nak bangun sahur? Sama laaa... Apa, anda senang nak bangun sahur? Eh, sama la jugak! hahaha Hadoi...

Kalau yang duduk bujang, jauh dari rumah keluarga, mungkin boleh cuba cara ni.

1. Kunci jam banyak-banyak dan letak sejauh 1 meter bagi mengelakkan anda menutupnya dengan kadar segera.

2. Rekod bacaan talkin dan setkan pada alat mp3. Kalau terdengar, confirm korang akan terjaga dan siap boleh buat solat sunat lagi tu.

3. Layan je PS2 sampai masuk waktu bersahur.

4. Tidur dekat surau. Biasanya akan ada jemaah yang akan buat qiamullail. Pasti anda akan terjaga dan bolehlah buat pahala dan boleh bersahur tanpa termiss.

5. Kalau susah sangat, ambil cuti sebulan dan apply kerja jadi pak guard. Sepanjang malam berjaga dan bolehlah bersahur dalam masanya.

6. Kalau dah susah sangat, minta tolong mak anda kat kampung call tiap-tiap pagi untuk kejut bangun sahur.

p/s: kalau sahur mesti takde selera nak makan. sesiapa ada petua tak untuk kasi selera mai time sahur? huhu


Sunday, July 14, 2013

Ayam masak kicap bersantan

Assalamualaikum. Hai semua!!~ Buat apa tengah hari ni? Jangan ada yang curi2 makan sudah laa... kalau yang ada excuse tu, tak apa laa... hehe Saya puasa hari ni dan sekejap lagi nak tidur. Huahahaha apa punya anak dara la! (^___^)v

Ok. Dah ada menu untuk masak juadah berbuka?? Bagus2. Kali ni saya nak kongsi resepi ayam masak kicap bersantan. Juadah ni biasanya dimasak ketika Hari Raya dan kenduri. Biasanya orang masak tak letak santan. Saya suka letak santan sebab kalau hari raya, boleh makan dengan ketupat. Budak-budak suka sebab tak pedas. Lagi satu, sebab dah ada kuah. So tak payah masak macam-macam. Mama cakap ni makanan orang jawa. Saya tak kisah. Jawa ke... melayu ke... mandeling ke... janji sedap! Hehe

Jom check bahan2 dan cara2 membuatnya.

Bahan-bahan

Bahan A
Setengah ekor ayam (dipotong)
Garam
Kunyit
Minyak (untuk menggoreng)

Bahan B
3 ulas bawang merah (dihiris)
2 ulas bawang putih (dihiris)
1 ulas bawang besar (dihiris bulat)
Halia dalam setengah inci (dihiris)
Kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 sudu serbuk lada hitam
2 sudu kicap pekat (kalau tak ada, boleh guna kicap biasa tetapi tambah kuantitinya dan kurangkan garam)
1/2 sudu kecil asam jawa (saya guna asam jawa extra adabi)
1 cawan santan (bukan pati santan tapi santan yang diperah dari kelapa parut. boleh guna susu cair)
2 biji cili hijau (dikelar)
1 biji buah tomata (potong 4)
1 biji kentang (dipotong 6 dan digoreng)
Sedikit air
Gula dan garam secukup rasa

Cara-cara
1. Salut ayam yang dibasuh bersih dengan garam dan kunyit. Goreng sehingga separuh masak atau kulit luarnya macam dah garing sikit. Angkat dan asingkan.
2. Panaskan kuali dan bubuh minyak sedikit untuk menumis. Masukkan bahan-bahan yang dihiris kecuali bawang besar ke dalam kuali. Lepas tu, masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang. Tumis sehingga kelayuan.
3. Masukkan sedikit air untuk mengelakkan bahan tumisan hangit. Masukkan juga asam jawa, lada hitam dan kicap. Kacau sehingga sebati.
4. Kemudian, masukkan ayam yang telah digoreng. Kacau sehingga kicap tersalut pada seluruh ayam. Biarkan seketika sehingga mendidih.
5. Bila dah ayam sudah tersalut kicap, masukkan santan. Kacau lagi dan masukkan cili hijau, tomato, dan kentang yang telah digoreng. Kacau perlahan-lahan supaya santan tak pecah minyak sehingga menggelegak.
6. Rasa garam dan gulanya. (Bulan puasa ni, saya main agak-agak aje. Huhu)
7. Tutup api apabila santan sudah mendidih. Kacau sebentar dan sedia untuk dihidangkan.

sori la, tak tahu macam mana nak hias biar jadi cun. maklum laaa... nak buka puasa. huhuhu

Selamat memasak!~

p/s: rasa macam nak makan homemade nasi beriyani la pulak. mama!!!~ tolong masakkan. ngeeee~


Saturday, July 13, 2013

Bola-bola api... kuih buah melaka

Assalamualaikum. Hai semua!!!~ alhamdulillah... dah selamat saya berbuka untuk hari ke4 ni. Malam ni malam ke5 Ramadan. Semoga dapatlah kita mengakhiri bulan mulia ini dengan kebajikan yang istiqamah. Selamat berbuka semua!!~

Oh, ya! Menu berbuka hari ni biasa-biasa aje. Yang saya nak share kali adalah menu kuih kami sekeluarga iaitu kuih buah melaka atau sesetengah orang panggil kuih onde-onde. Ok. Kita check bahan-bahan yang digunakan dan cara-cara membuatnya.

Bahan-bahan
300g tepung pulut
Segenggam tepung gandum
8 helai daun pandan (dikisar menggunakan blender dengan air kemudian ditapis. Ambil airnya.)
Garam secukup rasa
Gula melaka atau gula kabung (pecahkan menjadi ketulan yang kecil.)
Kelapa parut (letakkan sedikit garam sebagai perasa.)

Cara-cara
1. Campurkan tepung pulut dan tepung gandum di dalam satu bekas. Masukkan garam secukup rasa.
2. Masukkan air pandan dan mula gaul. Jika tidak mencukupi, tambah dengan air biasa. Uli sehingga menjadi doh dan tak melekat di tangan.
3. Bila dah jadi doh, bentukkan menjadi doh kecil sebesar ibu jari.
4. Masukkan gula melaka di tengah-tengah dan gentel sehingga menjadi bulat yang comel. Buat sehingga habis.
5. Jerang air. Pastikan air menggelegak sebelum memasukkan bola-bola comel.
6. Kalau nak tahu ia dah masak atau belum, tunggu ia timbul di permukaan air yang mendidih. Kalau timbul tu tandanya dah masaklah.
7. Angkat menggunakan pengetos (senduk yang berlubang-lubang) dan terus bubuh dalam pinggan berisi kelapa parut yang masin. Ini bertujuan untuk mengelakkan bola-bola comel itu melekat di antara satu sama lain.
8. Golekkan sehingga keseluruhan bersalut kelapa parut. Sedia untuk dihidangkan.



Selamat mencuba.

Entri lain nanti nak share resepi untuk makanan berat.

p/s: sedap pulak makan jagung rebus ni. yummo!~

Friday, July 12, 2013

Azan Maghrib #istimewa di Bulan Ramadan

Assalamualaikum. Sejak sejak dah besar ni, macam-macam yang saya perhatikan. Salah satunya azan Maghrib di bulan puasa. Heee sangat istimewa berbanding dengan bulan-bulan lain. Nak tahu tak apa yang dikatakan istimewa? Check-it-out!!~ 

1. Azan Maghrib di bulan Ramadan ditunggu kerana menandakan tibanya waktu berbuka puasa tapi kalau bulan yang lain belum tentu.

2. Banyak aktiviti berhenti bila kedengaran azan Maghrib bulan Ramadan. Kalau bulan lain, yang terus main bola pun ada.

3. Ramai yang ambil tahu masuknya waktu azan Maghrib tapi bila bulan yang lain, buat tak tahu aje.

4. Sebelum azan Maghrib di bulan Ramadan, ramai dah berada di rumah. Biasanya lepak aje kat mana-mana.

5. Solat Maghrib pun dikerjakan di awal waktu bila tiba bulan Ramadan. Kalau tak, ada yang terlajak.

Apapun, ni gurauan aje. Bukannya berlaku kat semua orang. Jadi, jangan marah ye. Kita sama-sama mengubah diri ke arah yang lebih baik. Saling menegur dan saling boleh menerima teguran.

Sekian, terima kasih!

Selamat bersahur!

p/s: nanti-nanti nak buat entri pasal sahur pula... daaaa!~

Thursday, July 11, 2013

Takut - Amalia Alias Ost Hujan


Lirik

Mungkin ku tak bisa menyatakan
Apa yang terintas di benakku
Bukan kerana ku tak mencinta
Cuma kerana ku tak mampu menatap matamu

Tapi bukankah semua rasaku
Sedia kau tahu tanpa ku perlu
Menggapai pena dan menulis
Apa yang ada di hatiku

Kerna dalam hatiku
Selalu ada kamu

Tuhan tolonglahku
Kerna aku takut kehilangan dia
Kerna aku takut dia kan pergi
Meninggalkan ku sendiri di sini

Tuhan tunjukkanlah
Apa yang terukir dalam hatinya
Jalan mana yang harusku datangi
Agar terlerai kusut ini

Tapi bukankah semua rasaku
Sedia kau tahu tanpa ku perlu
Menggapai pena dan menulis
Apa yang ada di hatiku

Kerna dalam hatiku
Selalu ada kamu

Tuhan tolonglahku
Kerna aku takut kehilangan dia
Kerna aku takut dia kan pergi
Meninggalkan ku sendiri di sini

Tuhan tunjukkanlah
Apa yang terukir dalam hatinya
Jalan mana yang harusku datangi
Agar terlerai kusut ini

p/s: Huhuhuhu... (T_T)


Tuesday, July 9, 2013

Ramadan #Terawih - part 1

Sayidina Ali Abi Talib r.a meriwayatkan sebuah hadith daripada Rasulullah s.a.w iaitu jawapan baginda ketika ditanya oleh para sahabat mengenai fadhilat dan kelebihan solat Tarawih pada setiap malam di bulan Ramadhan. Baginda bersabda yang maksudnya,

Malam ke 1
Diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan

Malam ke 2
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya

Malam ke 3
Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semuga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka

Malam ke 4
Memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang menbaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran

Malam ke 5
Dikurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan solat di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Majidil Aqsa

Malam ke 6
Dikurniakan pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa agar diampunkan dosa-dosanya

Malam ke 7
Seolah-olah dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolongnya itu menentang Fir’aun dan Hamman

Malam ke 8
Dikurniakan pahala sebagaimana pahala yang dikurniakan ke atas Nabi Ibrahim a.s

Malam ke 9
Dikurniakan pahala serta diangkat ibadahnya seperti Nabi Muhammad s.a.w

Malam ke 10
Dikurniakan ke atasnya kebaikan hidup di dunia dan akhirat

Malam ke 11
Meninggal dunia di dalam keadaan seperti ia baru dilahirkan

Malam ke 12
Dibangkitkan di akhirat di dalam keadaan mukanya bercahaya

Malam ke 13
Dibangkitkan di akhirat di dalam keadaan aman dari sebarang kejahatan dan keburukan

Malam ke 14
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikannya serta Allah S.W.T tidak akan menyesatkannya

Malam ke 15
Malaikat-malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan memohon agar Allah S.W.T mengampunkannya

Akan bersambung malam ke 16 nanti... (^___^)v

p/s: Selamat Bersahur!!~


Monday, July 8, 2013