Wednesday, June 11, 2014

PJJ - Perhubungan Jarak Jauh

Assalamualaikum... Halo Halo!! Petang tadi ada baca satu artikel yang menarik kat Berita Harian. Ok, saya copy paste dan share kat blog saya. Selamat membaca!!

Semarakkan perasaan cinta, saling menghubungi, elak wujud prasangka yang memusnahkan perhubungan


Kalau sudah namanya cinta, tinggal berjauhan bukanlah isu rumit memeningkan kepala. 

Ramai berpendapat, duduk berjauhan, mengurangkan risiko pergaduhan kerana hati sering dibaluti kerinduan. Jujur dan saling percaya itulah ‘kunci’ kebahagiaan.

Bagaimanapun, bukan semua cinta jarak jauh menjanjikan rasa bahagia kerana dalam hati sering kali ‘diusik’ rasa ragu-ragu terhadap ketulusan pasangan, atau hati sendiri yang sukar menangkis sapaan cinta orang ketiga, lantaran berjauhan dengan kekasih hati. 

Justeru, beberapa panduan disediakan, mungkin dapat membantu dalam memelihara hubungan jarak jauh: 

1. Berhubungan beberapa kali dalam sehari. Sekiranya sukar melakukan panggilan telefon kerana mahal dan masalah masa, luangkan masa untuk menghantar e-mel atau berbual di laman sembang yang mudah diperoleh menerusi internet. 

Walaupun hanya perbualan singkat, ia amat membantu daripada segi sokongan emosi, sungguhpun kadangkala apa yang anda ingin kongsikan itu, hanyalah cerita dan gosip ringan. 

Manfaatkan kemudahan internet termasuk panggilan video. Untuk lebih menyeronokkan, anda juga boleh bermain dengan permainan maya di internet. Menerusinya anda boleh berbual dan ini secara langsung mengeratkan hubungan. 
2. Sekiranya terlalu sibuk, pastikan anda memberitahu pasangan mengenai kesuntukan masa yang anda miliki. Cuba menghantar pesanan ringkas atau e-mel. 

Memikirkan kesibukan pasangan boleh menyebabkan anda kebosanan. Justeru, isi masa lapang dengan melakukan sesuatu perkara atau hobi yang menarik seperti membaca buku dan sebagainya. 

3. Mengharapkan hubungan mesra terjalin menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel cinta semata-mata tidak akan membantu membina hubungan anda. Sekiranya berkesempatan, keraplah bertemu dan ikutlah kesesuaian bajet anda. 

Tidak perlu berjumpa semata-mata untuk keluar bercuti sebaliknya memadai sekiranya keluar makan di restoran kegemaran atau menonton wayang. 

Lebih baik sekiranya pakaian anda ada di rumah pasangan. Ini bagi mengelakkan anda daripada membuang masa, mengemas pakaian untuk dibawa sewaktu bertemu pasangan. 

4. Beri perhatian kepada minat masing-masing. Ambil masa untuk kenal antara satu sama. Tahu mengenai minat pasangan masing-masing menyebabkan pertemuan anda menjadi lebih menyeronokkan. 

Sebagai contoh, sekiranya pasangan anda minat menari, ambil inisiatif untuk turut belajar menari. Kesungguhan itu membuatkan pasangan lebih menghargai anda. 

Baca buku atau artikel bersama-sama. Anda juga boleh bergilir-gilir membaca dengan kuat antara satu sama lain sewaktu bertemu di panggilan video. 

Menonton rancangan televisyen atau filem pada masa sama turut membantu anda membincangkan ‘cerita’ sama ketika berbual. 

Melakukan perkara sama dalam waktu sama menjadikan perasaan anda lebih rapat. Anda mungkin berada pada destinasi berbeza, tetapi anda boleh masak menu serupa pada waktu sama. 

5. Sentiasa menyokong antara satu sama lain walaupun berada berjauhan antara satu sama. Sekiranya pasangan berada dalam kesusahan, kesedihan dan sebagainya, pastikan anda sentiasa ada memberikan sokongan terhadap pasangan. 

Membiarkan pasangan bersendirian berhadapan kesukaran, hanya akan membuatkan dirinya merasakan bahawa anda sudah tidak diperlukan lagi. 

6. Jangan takut untuk bercakap mengenai perkara tertentu menyebabkan anda berasa bosan dengan situasi berjauhan itu. Ketika bersama, anda mungkin boleh mengemas, menghias rumah dan melakukan perkara yang anda impikan untuk lakukan bersama-sama pada masa depan. 

7. Bina keyakinan dalam diri anda berdua. Elakkan godaan dengan menjalin hubungan dengan istimewa dengan orang ketiga. Kadang-kala ia hanya bermula dengan salam perkenalan, tetapi boleh jadi berakhir dengan jatuh cinta. 

8. Buat panggilan telefon atau panggilan video, sebelum tidur, biarkan satu sama lain tahu posisi sebelah mana anda baring. Berpura-puralah anda tidur sekatil. Apabila anda bangun pada waktu pagi perkara pertama yang anda akan lakukan ialah ‘melihat’ pasangan anda. 

Tip hubungan jarak jauh 


  • Mempercayai pasangan 
  • Setia 
  • Bertemu walaupun sekejap 
  • Kerap bertanya khabar 
  • Meraikan ulang tahun bersama-sama
Sumber: BHarian


No comments: